Seorang pengunjung memilih pakaian sempena persiapan Aidilfitri biarpun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 08 MEI 2021.

BANGI – Biar pun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di enam daerah di Lembah Klang sejak semalam namun itu tidak menghalang orang ramai membeli bagi persiapan hari Raya Aidilfitri.

Buktinya, pasar raya dan premis menjual baju raya seperti di sekitar kawasan di Bangi dalam tinjauan Malaysiagazette di sini hari ini.

Menurut Shakirin Zahari, 28, walaupun tidak boleh pulang ke kampung atau merentas daerah dan negeri namun raya tetap akan diraikan.

Shakirin Zahar.Foto SYAFIQ AMBAK, 08 MEI 2021.

Jelasnya, walaupun sambutan agak sederhana namun hari kemenangan selepas sebulan berpuasa perlu disambut walaupun sederhana.

“Saya datang sini semata-mata untuk cari persiapan Aidilfitri kerana ia adalah hari kemenangan umat Islam dan kita kena sambut dalam hati yang gembira walaupun dalam keadaan mana sekalipun kita tetap kena gembira.

“Terutamanya kena ada baju raya dan kita kena raih sebaik mungkin. Tetap sambut raya walau tak boleh balik kampung. Ibu bapa di kampung pun faham, tidak ada masalah,” katanya.

Fara Sabre. Foto SYAFIQ AMBAK, 08 MEI 2021.

Menurut Fara Sabre, 38, pula, pelaksanaan PKP tidak menghalang untuk keluarganya menyambut hari raya khususnya kepada anak-anaknya.

“Persiapan Aidilfitri itu beli tapi ala kadar sahaja, itu sebabnya kalau pergi beli barang kami tidak akan bawa anak, pergi berdua sahaja.

“Raya mesti raya juga sebab kita kena raikan sebulan kita berpuasa tapi setidak-tidaknya ada persiapan untuk anak-anak tapi sederhana. Kita kena redha, demi keselamatan semua kami akur,” katanya.

Khairul Azahar. Foto SYAFIQ AMBAK, 08 MEI 2021.

Bagi Khairul Azahar, 38, sememang ada perasaan sedih apabila tidak dapat menyambut lebaran bersama keluarga di kampung namun terpaksa akur arahan demi membendung penularan Covid-19.

“Setakat ini kita buat ala kadar sahaja, sebab kita beraya satu hari sahaja, untuk baju Melayu anak-anak sahaja.

“Ada rasa sedih sebab tak dapat balik beraya dari tahun lepas lagi, agak sedih sebeb setiap tahun kami akan berkumpul beramai-ramai masa Aidilfitri, jadi rasa terkilan juga tak dapat balik beraya,” kata Khairul yang membeli baju Melayu kepada tiga anaknya.

“Persiapan raya macam biasa tapi lebih kepada anak-anak sahaja. Kita tak dapat balik kampung tapi mood raya macam biasa sahaja. Kita raikan perayaan macam biasa.

“Raya tetap raya,” kata Abd Rahimmullah Muhamad, 42, dari Sungai Merab.

Maziyana MD Nordin. Foto SYAFIQ AMBAK, 08 MEI 2021.

Bagaimanapun, Maziyana Md Nordin, 40, pula berkata, umat Islam di negara ini sepatutnya bersyukur kerana diberikan kesempatan membuat persiapan Aidilfitri berbanding tahun lalu.

Katanya, kelonggaran di saat penularan Covid-19 yang memuncak perlu dirai dengan penuh nikmat tanpa melupakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Pada tahun ini kita diberi kesempatan juga untuk membeli belah berbanding tahun lepas. Ada rasa untuk sambut raya walaupun tak dapat balik kampung masih kita dapat kecapi sediakan persiapan raya.

“Persiapan sederhana tapi kita tetap juga meraikan kemenangan kita, ia lebih kepada persiapan kepada anak-anak supaya mereka dapat merasa kemeriahan Aidilfitri,” kata ibu kepada seorang anak itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast