Pergerakan pertama penghantaran pulang pelajar UTeM ke kampung bagi menyambut Aidilfitri malam tadi melibatkan 168 pelajar dari zon pantai timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan menggunakan lima bas.

MELAKA – Demi sayang dan bimbangkan keselamatan ahli keluarga, seorang pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) nekad untuk berhari raya di kampus sahaja daripada pulang ke kampungnya di Kulai, Johor.

Pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Teknikal dan Pembuatan, Muhammad Ikmal Fariz Norazizan, 22, berkata beliau gusar sekiranya memilih untuk pulang ke kampung, ia akan menyebabkan penularan wabak COVID-19 dalam kalangan ahli keluargannya terutama ibu, bapa dan neneknya yang telah berusia antara 50-an hingga 70-an.

Beliau berkata selain itu, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kulai berkuat kuasa semalam juga turut menjadi satu daripada faktor keputusan itu diambil.

“Saya takut sekiranya saya menjadi pembawa wabak COVID-19 dan menyebarkannya kepada ahli keluarga yang lain kerana ia mudah menjangkiti golongan berisiko dan berusia terutama nenek kerana beliau telah berusia 70-an.

“Keputusan ini mendapat keizinan ibu dan ayah. Lagipun, kalau saya pulang ke kampung tiada apa yang boleh dilakukan kerana PKP berbanding tinggal di kolej…banyak tugasan yang perlu diselesaikan dan ramai lagi rakan lain yang tidak pulang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Op Pulang Hari Raya UTeM di sini, lewat malam tadi.

Mengulas lanjut, Muhammad Ikmal Fariz yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu berkata sambutan Aidilfitri tahun ini merupakan kali pertama diraikan tanpa keluarga tersayang namun beliau pasti ia akan menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan sepanjang hidupnya.

Sementara itu, pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Muhamad Saufi Firdaus Daud, 21, berkata beliau teruja kerana diberi peluang menyambut hari raya bersama keluarganya di Pasir Mas, Kelantan dan ia sedikit sebanyak dapat melepaskan kerinduan setelah kira-kira dua bulan tidak dapat pulang ke kampung.

“Saya rindukan masakan emak iaitu tom yam…hampir sebulan berpuasa tidak dapat merasai masakannya seperti tahun sebelum ini. Tidak sabar rasanya hendak berbuka bersama keluarga,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Beliau berkata peluang berkenaan akan digunakan sebaik mungkin dengan menghabiskan masa bersama keluarga dan tidak ‘merayau’ serta mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

Pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Elektrikal, Nurafiqah Mokhtar, 22, pula berkata beliau bersyukur kerana masih berpeluang menyambut Aidilfitri bersama tiga lagi adik-beradiknya di Kuala Lipis, Pahang walaupun tanpa ayah dan ibu yang telah meninggal dunia.

“Pada mulanya saya tidak jangka dapat pulang ke kampung disebabkan COVID-19 dan telah maklumkan pada kakak dan abang tetapi bila dimaklumkan sebaliknya, saya gembira dan bersyukur,” kata anak bongsu itu.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM Prof Madya Dr Nurulfajar Abd Manap berkata pergerakan pertama penghantaran pulang pelajar UTeM ke kampung bagi menyambut Aidilfitri malam tadi melibatkan 168 pelajar dari zon pantai timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan menggunakan lima bas.

Beliau berkata secara keseluruhan, sebanyak 652 pelajar dari empat zon iaitu pantai timur, tengah, utara dan selatan akan pulang menggunakan bas UTeM secara berperingkat bermula malam tadi hingga 10 Mei ini.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast