Pelanggan dilihat mencuba tudung untuk dibeli sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri biarpun pelaksanaan pematuhan SOP ketat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Jakel Mall, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan sejak 6 hingga 20 Mei ini di seluruh ibu negara  mengubah suasana persiapan 1 Syawal yang bakal menjelma Khamis ini.

Malah tumpuan pematuhan SOP sudah semestinya akan beralih ke arah tempat tumpuan orang ramai terutama sekali pusat membeli belah yang terlibat dalam promosi pakaian sempena Aidilfitri di ibu negara.

Gedung pakaian fesyen dan baju raya, Jakel Mall misalnya melaksanakan SOP yang ketat tanpa sebarang kompromi kepada pengunjung.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Jakel Holdings, Datuk Mohamed Nizam Mohamed Jakel bercakap kepada media mengenai pegunjung membeli-belah sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri biarpun pelaksanaan pematuhan SOP ketat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Jakel Mall, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 MEI 2021.

Suasana di dalam premis gergasi di Jalan Munshi Abdullah itu menyaksikan setiap pengunjung ke Jakel perlu melakukan imbasan MySejahtera daripada kanak-kanak hingga warga emas dan sentiasa dipantau pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal sepanjang membeli belah di dalam premis itu dengan menggunakan sistem bernombor di kaunter khas di pintu masuk utama.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Jakel Holdings, Datuk Mohamed Nizam Mohamed Jakel berkata, pihaknya amat menitiberatkan mengenai SOP sejak kerajaan mengumumkan penguatkuasaan PKP 3.0 di ibu negara sehingga 20 Mei ini.

Katanya, untuk memastikan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka dalam kalangan pengunjung sentiasa terjamin, petugas dan kakitangan Jakel Mall memeriksa suhu badan dan imbasan MySejahtera setiap pengunjung dari kanak-kanak hingga ke warga emas di pintu masuk utama.

“Dalam Jakel sendiri kita sentiasa membuat pengumuman, setiap lima ke 10 minit kita akan membuat pengumuman memastikan pelitup muka dipakai secara sempurna tanpa di bawah hidung termasuk kanak-kanak dan juga penjarakan fizikal di dalam termasuk di tempat kaunter menunggu pembayaran.

“Cuma di sini kelihatan mereka berdiri rapat dan sesak bersama ahli keluarganya, sebenarnya mereka juga dipastikan patuh kepada SOP juga, kita sentiasa menitikberatkan perkara penting ini bukan sahaja di Jakel Mall, malah di cawangan kami di seluruh negara.

“Jakel juga sebelum ini telah dinasihati oleh Kementerian Kesihatan supaya lebih prihatin dan menetikberatkan SOP dan kita tak mahu didenda dan sebagainya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Seorang kakitangan memberikan arahan agar orang ramai mematuhi SOP semasa membeli-belah sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri biarpun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Jakel Mall, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 MEI 2021.

Menurutnya, di Kuala Lumpur, Jakel Mall hanya membenarkan sebanyak 2,000 pengunjung dalam satu masa kerana premis ini mempunyai keluasan lantai seluas 300,000 kaki persegi dengan 50,000 hingga 60,000 kaki persegi setiap tingkat di bangunan enam tingkat itu.

Untuk mengelak pengunjung tertumpu dan fokus di satu ruang secara beramai-ramai sehingga membawa risiko suasana sesak dan perlanggaran SOP, pusat beli-belah itu sudah menyediakan pakaian baju raya di setiap tingkat secara berasingan di empat tingkat dalam usaha memastikan pengunjung tidak berdiri rapat tanpa penjarakan fizikal.

Ditanya sama ada kehadiran dan pemantauan anggota ke premis berkenaan, Mohammed Nizam berkata, sememangnya Kementerian Kesihatan telah beberapa kali menghantar anggota penguatkuasa pemantau SOP di Jakel Mall.

Orang ramai mengambil nombor pas giliran sebelum masuk ke premis untuk membeli-belah sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri biarpun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Jakel Mall, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 MEI 2021.

Malah, polis dan juga pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut turun padang meninjau dalam premis dan berpuas hati tahap dengan pematuhannya.

Mohamed Nizam berjanji akan mengambil segala inisiatif untuk memastikan pematuhan SOP dalam Jakel Mall dilaksanakan 100 peratus seperti disyaratkan kerajaan.

“Walaupun kita rugi sedikit, kita tetap akan membantu rakyat sebab tanpa sokongan dan dokongan pelanggan kami tidak boleh mencapai tahap sebegini dan menjadi tanggungjawab kami untuk menghargai mereka sewaktu sambutan lebaran,” ujarnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast