PKPD di beberapa mukim di Terengganu dan Perak serta kampung di Kelantan, Sabah dan Sarawak.

KUALA LUMPUR – Kluang, Johor diletakkan bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa 11 Mei ini, selepas daerah itu merekodkan 512 kes positif sejak 4 Mei lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah kes positif yang direkodkan itu adalah daripada keseluruhan 3,867 ujian saringan yang dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) sejak Ahad lalu.

“KKM juga melaporkan terdapat empat kluster aktif di daerah ini, selain kadar positif pula 13 peratus, manakala kadar insiden semakin meningkat di beberapa perkampungan dan taman perumahan.

“Setelah meneliti pembentangan, cadangan dan nasihat daripada KKM serta penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di daerah Kluang, Johor ini selama dua minggu dari 11 hingga 24 Mei ini.

“Dengan adanya pelaksanaan PKP di daerah ini, pergerakan rentas negeri dan daerah adalah tidak dibenarkan dan dalam pada itu, SOP di daerah Kluang adalah sama seperti PKP yang telah diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan harian Covid-19, hari ini.

Ismail Sabri Yaakob

Menurut Ismail, pelaksanaan PKP itu antara lain untuk menyekat pergerakan terutamanya di musim perayaan dan cuti sekolah berikutan kluster tertinggi yang dilaporkan adalah daripada komuniti.

Pada masa sama, kata beliau, ia bertujuan mengekang penularan jangkitan Covid-19 dalam komuniti dan mengelakkan penularan kes disebabkan aktiviti berkumpul dan majlis sosial.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan pelaksanaan PKP Diperketatkan (PKPD) di Kampung Keramat, Semporna, Sabah juga berkuatkuasa 11 Mei ini.

Jelas beliau, KKM telah merekodkan 10 kes positif Covid-19 daripada 101 ujian saringan yang dilakukan ke atas penduduk di lokaliti tersebut.

Katanya, KKM juga melaporkan berlaku peningkatan jumlah kes yang amat ketara, selain pematuhan SOP penduduk di lokaliti tersebut masih rendah. – MalaysiaGazette