Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak empat daerah di Selangor merekodkan kes harian Covid-19 di bawah 100 semalam.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan, daerah terbabit meliputi Sabak Bernam apabila mencatat angka terendah dengan 15 kes diikuti Hulu Selangor (17), Sepang (66) dan Kuala Selangor (70).

Bagaimanapun, Petaling kekal jumlah tertinggi dengan 342 jangkitan membabitkan 127 kes di mukim Petaling, Damansara (111), Sungai Buloh (79) dan Bukit Raja (25), majoriti berpunca daripada saringan kontak rapat.

“Hulu Langat pada kedudukan kedua dengan 272 kes iaitu 80 kes di mukim Kajang, Ampang dan Cheras masing-masing 77 kes, Semenyih (33) dan Hulu Langat (lima),” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Jabatan itu menambah sebanyak 194 kes direkodkan di Kuala Langat, Gombak (165) dan Klang (137).

Selangor merekodkan sebanyak 1,278 kes Covid-19 semalam dan 1,080 kes sembuh.

Keseluruhannya, seramai 138,172 pesakit di negeri itu berjaya pulih berbanding 143,270 kes yang dilaporkan sejak pandemik menular. – MalaysiaGazette