Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Kententeraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar ketika ditemui dalam sidang media di SJR Tanjung Lumpur, Kuantan

KUANTAN – Lebih 1,300 pemilik kenderaan diarah berpatah balik dalam percubaan merentas negeri di seluruh negara, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Kententeraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar.

Tambahnya, arahan berpatah balik dikeluarkan setelah anggota polis di sekatan jalan raya (SJR) mendapati mereka tidak mempunyai dokumen yang lengkap seperti tanda tangan dan cop rasmi pegawai polis.

“Bermula hari ini orang awam tidak dibenarkan merentas negeri tanpa kebenaran pihak polis, pihak berkuasa melakukan 361 SJR dan melibatkan seramai 6,500 anggota polis di seluruh negara.

“Ada pesalah rentas rentas negeri mencuba nasib untuk menuju ke destinasi tanpa dokumen atau dokumen tidak lengkap, merasakan pihak polis tidak melakukan pemeriksaan secara teliti dan terlepas pandang.

“Macam-macam taktik dan helah digunakan untuk merentas negeri seperti menggunakan pas pekerja untuk pulang ke kampung untuk beraya,” katanya.

SJR di Tanjung Lumpur, Kuantan

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sejurus lawatan di Sekatan Jalan Raya di Tanjung Lumpur turut membuat pemeriksaan dan memberi nasihat kepada pemandu.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisoner Mohamad Noor Yusof Ali dan barisan pegawai Polis Pahang.

Abdul Rahim yang diminta mengulas lanjut insiden penghadang  yang dibina polis dibakar berikutan protes dan rasa tidak puas hati apabila lokasi lorong tikus di Terengganu ditutup berkata: “Sila patuhi undang-undang dan bersabar, langkah untuk melakukan SJR untuk bersama-sama memutuskan rantaian Covid-19,”. – MalaysiaGazette