KUALA LUMPUR – Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) dengan kategori ketidakupayaan mental maut dalam kemalangan di Jalan 34/26, Sri Rampai pada pagi tadi akibat menunggang motorsikal secara melawan arus.

Dalam kejadian pada jam 10:55 pagi tadi, motosikal yang ditunggang mangsa yang berusia 61 tahun hilang kawalan ketika cuba mengelak kenderaan yang datang dari arah depan.

Berikutan itu, mangsa, Mohamad Razali Mohd Isa, tercampak lalu terkena besi railing.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Hasil siasatan awal di lokasi kejadian dapati kemalangan berlaku apabila mangsa penunggang motosikal dari arah Jalan Genting Klang menghala Desa Rejang dan apabila sampai di tempat kejadian telah bergerak melawan arus (Jalan dari arah Jalan Rejang hala ke Jalan Genting Klang) dan telah mengelak kenderaan yang sedang bergerak di laluan yang betul sehingga hilang kawalan sebelum mangsa tercampak terkena besi railing manakala motosikal terseret di atas jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette