Warga China yang ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Perak kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti penipuan pelaburan atas talian. Gambar ihsan: PDRM

KUALA LUMPUR – Enam warga China dicekup dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Jalan Perak, di sini, kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti penipuan pelaburan atas talian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua individu yang ditahan dalam serbuan pada pukul 3 petang hari ini berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.

Beliau berkata, pihaknya merampas sebanyak 172 telefon bimbit pelbagai jenama dan 46 buah komputer.

“Soal siasat awal mendapati kegiatan penipuan ini telah beroperasi sejak April 2021 yang mensasarkan pelabur-pelabur dari negara China.

“Pengakuan daripada pekerja yang ditahan telah bekerja lebih kurang satu bulan. Kesemua pekerja ditawarkan gaji bulanan sebanyak RM2,000 hingga RM3,000 sebulan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Zainal, premis yang digunakan untuk melakukan aktviti tersebut disewa sebanyak RM10,000 sebulan.

Malah, kesemua pekerja mengetahui peranan mereka iaitu mencari pelabur di media sosial dengan menawarkan kepada mereka untuk menyertai skim pelaburan saham di China, Taiwan dan Hongkong, katanya.

Tambah beliau, kesemua warga China yang ditahan akan direman esok untuk disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast