Dr Adham Baba

KUALA LUMPUR – Sistem Hotspot Identification by Dynamic Engagement (HIDE) berfungsi untuk menerima data dan maklumat secara harian daripada Pusat Kesediaan Dan Tindak Balas Krisis (CPRC).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pada masa yang sama MySejahtera akan menghantar amaran kepada mereka yang didapati memiliki kenalan rapat agar mereka memantau status kesihatan masing-masing setiap hari menggunakan Health Assessment Tool (HAT) di dalam
MySejahtera.

Katanya, sekiranya tidak sihat mereka dinasihatkan supaya pergi ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan.

“Membuat analisa terhadap senarai HIDE. Anggota kesihatan akan menyemak data maklumat individu yang tersenarai sama ada terdapat di antara mereka yang telah dilaporkan positif Covid-19 atau sama ada tindakan susulan telah diambil,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) secara Zoom hari ini.

Beliau menjelaskan mengenai tindakan yang boleh diambil dalam mengguna pakai data HIDE.

Menurut Adham, sekiranya terdapat kes positif dilaporkan, Pusat Kesihatan Daerah (PKD) akan menjalankan siasatan, pengesanan kontak, isolasi kes positif, kuarantin kontak rapat, membuat
penilaian risiko terhadap premis terbabit di daerah masing-masing, keperluan pembersihan dan disinfeksi.

Penilaian juga akan dibuat samada memerlukan penutupan sementara untuk tindakan pencegahan dan kawalan yang akan dijalankan, seperti pembersihan dan disinfeksi oleh pihak pemilik premis, katanya.

Melalui HIDE juga katanya, arahan pembersihan dan disinfeksi boleh dilakukan berdasarkan penilaian risiko yang telah dijalankan berdasarkan seksyen 18 Akta 342.

“Ia juga boleh membantu dalam membuat saringan pekerja premis, jika diperlukan bergantung kepada
keputusan penilaian risiko.

“HIDE juga bekerjasama dengan agensi penguatkuasa yang lain di daerah dalam melaksanakan pemantauan, penguatkuasaan serta tindakan yang perlu dilaksanakan dalam pematuhan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) ditetapkan,” tambahnya. – MalaysiaGazette