Pecubaan menipu menggunakan Borang Kebenaran Rentas Negeri yang difotokopi dibeli harga RM 200

KUANTAN – Dua warga asing sanggup membelanjakan RM200 untuk mendapatkan borang rentas negeri palsu bagi merentas negeri ditahan polis dalam sekatan jalan raya (SJR) di Tol Bentong menghala ke Kuantan pada petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, hasil siasatan mendapati dokumen yang diguna oleh mereka telah dicetak semula dan digunakan untuk mengaburi pihak berkuasa.

Tambahnya, hasil pemeriksaan mendapati dokumen rentas negeri bagi dua orang penumpang bas ekspres warga asing yang berusia 24 dan 27 tahun meragukan dan mengesyaki dokumen tersebut telah dipalsukan oleh individu tersebut.

“Hasil siasatan awal pihak polis dapati dokumen tersebut di fotokopi dan digunakan semula. Setelah dihubungi oleh pihak polis kepada balai polis yang mengeluarkan borang rentas negeri tersebut dapati tiada borang rentas negeri tersebut dikeluarkan.

“Hasil temubual dengan kedua saspek telah memperolehi borang tersebut daripada seorang rakannya bernama ‘Mezan’ dengan bayaran RM200 sehelai.

“Siasatan lanjut juga keatas kedua saspek tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah (pasport),” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Menurut Zaiham, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 kanun yang sama yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada sepuluh tahun dengan sebat selain dikenakan denda.

Kes turut disiasat di bawah Sekyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 dengan denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan, jika sabit kesalahan, ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN :

Hantar baju, kuih raya antara alasan rentas daerah, negeri – Polis

38 individu rentas sempadan tanpa surat kebenaran dikompaun

Ujar Zaiham, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong turut menahan empat warga tempatan selepas memeriksa sebuah bas ekspres dari Pulau Pinang menuju ke Kuantan dalam kejadian pukul 1.30 petang.

Sementara itu, beliau memberitahu, sehingga semalam IPD Bentong telah mengeluarkan empat lagi kompaun kepada penumpang bas yang menghala ke Pantai Timur dalam SJR di Plaza Tol Bentong.

“Kesemua empat orang yang kena kompaun merupakan warganegara tempatan berusia dalam lingkungan 21 hingga 37 tahun dikompaun di bawah Akta Peraturan 25(a) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021 di mana boleh dikenakan kompaun sehingga RM5,000,” jelasnya. – MalaysiaGazette