KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan kebimbangan dengan situasi terkini wabak Covid-19 menasihati rakyat untuk berada di rumah dan tidak keluar jika tiada keperluan mendesak.
Langkah tersebut. akan membantu petugas barisan hadapan mengekang rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini dengan berkesan.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah turut mengulangi nasihat baginda supaya rakyat mengutamakan keselamatan dan kesihatan diri serta keluarga dengan sentiasa berdisiplin mematuhi larangan-larangan dan arahan-arahan terkini yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelakkan negara ini dibadai tsunami Covid-19 seperti yang berlaku di Asia Selatan dan Eropah.
“Masyarakat secara umumnya dilarang sama sekali untuk merentas negeri dan daerah mengikut keputusan MKN dan Kementerian Kesihatan.
“Perkara ini selaras dengan prinsip menjaga kemaslahatan ummah dan juga Hifzu AnNaf,” katanya baginda menerusi kenyataan media oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin susulan keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara mulai esok hingga 7 Jun 2021.
Baginda turut menzahirkan harapan agar kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat melipatgandakan lagi usaha yang sedang dan akan dilakukan untuk melandaikan kes positif harian wabak ini yang telah memberi kesan kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang.
Menurut Yang di-Pertuan Aging, baginda mat memahami keluh kesah rakyat di peringkat akar umni yang terjejas teruk akibat penularan Covid-19.
Lantaran itu, baginda turut menzahirkan harapan agar masalah dan kelangsungan hidup ditangani dan dipelihara oleh kerajaan dan semua pihak yang bertanggungjawab.
”Baginda menzahirkan rasa keyakinan dengan kerjasama padu dan komitmen tinggi semua pihak, Malaysia mampu melandaikan penularan jangkitan Covid-19 demi keselamatan dan kesejahteraan negara yang kita cintai bersama ini.
“Menmgambil keberkatan bulan Ramadan yang mulia ini dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, Seri Baginda dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong mengambil kesempatan mengajak rakyat untuk bersama baginda berdua mendoakan semoga negara sentiasa diberkati dan dilindungi serta ancaman wabak Covid-19 ini dapat diakhiri dengan segera,” ujar Ahmad Fadil. – MalaysiaGazette