Anggota polis memeriksa surat rentas negeri seorang pemandu semasa mengadakan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Hanya satu standard Prosedur Operasi Standard (SOP) digunakan untuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara kali ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penyeragaman SOP dilaksanakan bagi mengelakkan berlaku kekeliruan dan pertikaian dalam kalangan rakyat.

“Sekarang kita buat keputusan hanya satu standard SOP untuk seluruh negara yang melibatkan seluruh kementerian. Saya harap tidak timbul lagi isu kekeliruan lebih-lebih lagi selepas pagi tadi kita menyeragamkan SOP berdasarkan pandangan dan cadangan kementerian-kementerian,” katanya ketika sidang media yang julung kali diadakan bersama dengan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, SOP PKP kali ini boleh dirujuk di setiap kementerian yang terlibat termasuk laman rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Mempertimbangkan keperluan rakyat untuk menanggung kehidupan, beliau berkata, kerajaan tidak melaksanakan SOP PKP seperti yang dikuat kuasakan pada Mac 2020.

“Kita buat PKP 3.0 ramai orang marah, kita buat PKP 1.0 pun ramai orang marah. Cuma alasan kita untuk tidak buat (SOP) seperti PKP 1,.0 kerana tidak mahu menyusahkan rakyat dari segi meneruskan hidup.

“Seperti saya pernah sebut, bahawa kita mengimbangi antara keperluan kesihatan dan keperluan penghidupan rakyat.

“Negara kehilangan RM2.4 bilion sehari apabila kita tutup kesemua sektor ekonomi dan seperti saya sebut kumpulan peniaga kecil terjejas teruk ketika itu tidak mampu meneruskan hidup kerana tidak dibenarkan keluar rumah,” katanya lagi.

Untuk rekod semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP 3.0 akan dilaksanakan di seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun depan.

Meskipun masih membenarkan sektor ekonomi beroperasi pada PKP kali ini, namun Ismail menegaskan SOP yang ketat bagi penularan Covid-19 perlu dipatuhi.-MalaysiaGazette