KUALA LUMPUR – Sehingga Mei 2021, sebanyak 70 kilang telah diarahkan untuk ditutup kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) mengekang penularan Covid-19 yang ditetapkan kerajaan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa melaksanakan penilaian risiko seterusnya mengemukakan cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung penularan di tempat kerja.
“Selepas penilaian risiko banyak kilang banyak diarah tutup oleh kerajaan cuma mungkin kita tidak heboh tentang kilang ditutup cuma yang rakyat tahu baru-baru ini tentang kilang Top Glove.
“Sehingga Mei 2021, sebanyak 70 buah kilang telah diarah tutup kerana melanggar SOP dan perintah yang dikeluarkan kerajaan. Kita memang melaksanakan penambahbaikan, jika penilaian risiko kilang tidak boleh beroperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sebab kerajaan sehingga kini meneruskan operasi kilang-kilang meskipun data kes positif Covid-19 menunjukkan penularan di tempat kerja antara penyumbang tinggi setiap hari.
Jelas Ismail Sabri, penularan jangkitan wabak berkenaan di kilang sebenarnya berpunca daripada keadaan perumahan pekerja yang tidak kondusif.
Justeru, beliau berkata, kerajaan baru-baru ini Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dikuat kuasakan.
Jelas beliau lagi, KKM juga akan bertindak tangkas untuk membuat pengesanan kontak rapat dan melaksanakan kuarantin sekiranya berlaku penularan Covid-19 di kilang-kilang.
Pada 25 Februari lalu, Akta 446 diwartakan sebagai sebahagian daripada Ordinan Darurat dan penguatkuasaan akta ini turut diperluaskan ke Sabah dan Sarawak, susulan tercetusnya Kluster Teratai pada awal tahun ini.
Semalam, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, Akta 446 diperketatkan penguatkuasaannya untuk mengawal penularan wabak Covid-19.-MalaysiaGazette