Anggota polis membawa suspek iaitu suami pengasuh ke mahkamah untuk didakwa atas kes meliwat bayi berusia 9 bulan di Mahkamah Petaling Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 12 MEI 2021.

PETALING JAYA – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan membunuh dan meliwat seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan.

Tertuduh Mohamed Badruldin Mohamed, 36, dibawa ke mahkamah pada jam 10.15 pagi dengan tangan bergari dikawal ketat dua anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 8 pagi hingga 3.30 petang di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang 1, Taman Putra Damai, Jalan PJU1A/42 di Petaling Jaya.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, Mohamed Badruldin didapati membunuh mangsa berusia sembilan bulan yang kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan dia boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup.

Bagi pertuduhan pertama tiada pengakuan direkodkan daripada Mohamed Badruldin selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan majistret Muhammad Iskandar Zainol berikutan kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Untuk pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan memasukkan kemaluan ke dalam dubur mangsa tanpa kerelaannya.

Bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah untuk pertuduhan meliwat itu yang didakwa dilakukan pada waktu, tempat dan tarikh yang sama.

Mohamed Badruldin dituduh di bawah Seksyen 377c Kanun Keseksaan, jika didapati bersalah boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Pada prosiding itu, kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Alison Chan May Kam manakala tertuduh tidak diwakili peguambela.

Tiada jaminan dibenarkan ke atas tertuduh sebelum mahkamah menetapkan 15 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula bagi kedua-dua kes tersebut. – MalaysiaGazette