Tun Mahathir (tengah) ketika menghadiri sebuah majlis di sebuah surau di Kuala Teriang, Langkawi pada Sabtu lalu.

LANGKAWI – Polis membuka kertas siasatan ke atas Ahli Parlimen Langkawi Tun Mahathir Mohamad yang dikatakan tidak mengimbas aplikasi MySejahtera.

Ketua Polis Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, siasatan itu dibuat selepas satu video tular menunjukkan bekas perdana Menteri ke-7 itu tidak mengimbas MySejahtera ketika hadir sebuah majlis di daerah itu pada 8 Mei lalu.

“Hasil siasatan mendapati beliau hadir ke satu majlis di Surau Raudhatul Jannah, Kuala Teriang di sini pada pagi Sabtu lalu.

“Siasatan dibuka mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan/Peraturan 16, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan)2021,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu tular satu klip video berdurasi 2 minit 30 saat di Facebook yang menunjukkan Tun Mahathir menaiki sebuah kenderaan memasuki kawasan surau tanpa mengimbas MySejahtera.

Video yang dimuat naik menerusi akaun Facebook Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak itu sudah ditonton 875,000 dan dikongsi 1,600 pengguna media sosial. – MalaysiaGazette