- Pemantauan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di negeri dan kawasan panas (hot spot) yang dikenal pasti di bawah sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) akan ditingkatkan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pemantauan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di negeri dan kawasan panas (hot spot) yang dikenal pasti di bawah sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) akan ditingkatkan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan telah dikeluarkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan penguatkuasaan.

“Langkah-langkah penguatkuasaan oleh agensi penguatkuasaan yang lain juga akan dipertingkatkan di lapangan,” katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengesahkan, seramai 236 individu ditahan pada Selasa kerana ingkar terhadap SOP.

Kesalahan paling tinggi kata Ismail, adalah gagal merekodkan butiran diri untuk masuk ke premis.

“Antara kesalahan direkodkan ialah, gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (115), tidak memakai pelitup muka (50), tiada penjarakan fizikal (16) dan lain-lain (55),” ujar Ismail.

Menjelang sambutan Aidilfitri esok, beliau turut memberi jaminan bekalan makanan stabil dan mencukupi.

Jaminan itu disuarakannya berdasarkan pemantauan serta pemeriksaan oleh anggota Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di peringkat peruncit dan pemborong.-MalaysiaGazette