KUALA LUMPUR – Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menyifatkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi suku pertama tahun ini sebagai petanda baik.

Lantaran itu MDEC akan terus bekerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi terutamanya dalam sektor ekonomi digital yang sangat berpotensi untuk membantu lonjakan ekonomi negara pada waktu norma baharu ini.

Pada masa sama, MDEC akan memainkan peranan aktif bagi memperkukuhkan daya saing negara dengan meningkatkan digitalisasi dan kemahiran tenaga kerja selaras dengan lima fokus utama kerajaan bagi mendorong dan menjamin pemulihan negara.

Langkah ini telah dan sedang dilaksanakan agensi ini menerusi kepelbagaian inisiatif untuk memacu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan mikro serta meningkatkan kemahiran digital rakyat melibatkan program -program perkongsian awam swasta yang dipacu oleh MDEC termasuk Institusi Teknologi Digital Premier (PDTI), Kerangka Kemahiran Industri (IndSF), Direktori Latihan Kemahiran Digital untuk profesional yang bekerja dan program kerjasama teknologi data dengan syarikat gergasi teknologi.

Program-program ini diperkenalkan untuk mempercepat usaha yang didorong oleh data dan mengembangkan bakat digital yang merupakan sebahagian daripada usaha MDEC untuk mendorong Malaysia melakukan lonjakan digital pada era Revolusi Perindustiran 4.0 (IR4.0).

MDEC berkata, laporan suku pertama KDNK yang diumumkan semalam menyaksikan indeks jualan runcit dalam talian yang menggambarkan aktiviti e-dagang, mencatat pertumbuhan 18.3 pertaus dari tahun-ke-tahun.

Sehingga hujung tahun lalu, lebih daripada 489,000 PKS dan mikro telah menerapkan e-Dagang manakala 378,000 PKS telah dilatih dalam e- Dagang.

Jumlah PKS yang mengeksport barangan telah meningkat secara drastik kepada 27,000 berbanding 1,800 selain berjaya menarik pelaburan sebanyak RM1.5 bilion untuk penubuhan hab e-penyampaian serantau.

Pengerusi MDEC, Datuk Rais Hussin Mohamed berkata, ini akan memberi keyakinan dan seterusnya memacu pertumbuhan serta mengembangkan ekonomi digital serta bertepatan dengan usaha kita mewujudkan masyarakat yang inovatif, inklusif dan terintegrasi teknologi sejajar dengan Malaysia 5.0

Pada masa sama, MDEC akan meneruskan sokongan kepada ekonomi digital dengan tumpuan ke arah penerimagunaan teknologi digital di kalangan PKS dan usahawan mikro.

Ini telah dibuktikan menerusi pengingkatan prestasi yang ditunjukkan oleh sektor berkenaan sehingga Malaysia kekal sebagai salah satu pasaran e-Dagang utama di ASEAN berdasarkan jangkaan pertumbuhan nilai dagangan kasar (GMV) yang mampu mencecah AS$11.4 bilion pada tahun lalu iaitu peningkatan
enam peratus dari tahun ke tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast