Orang awam mengambil kesempatan untuk membeli persiapan Hari Raya Aidilfitri pada saat akhir semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika di sekitar Jalan Tar, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Hari ini merupakan hari pertama pembukaan semula kompleks beli belah, Sogo selepas ditutup selama tiga hari kerana tersenarai sebagai kawasan titik panas Covid-19 yang berpotensi mendatangkan risiko penularan.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati pusat beli belah terkemuka itu lengang selepasĀ  tersenarai dalam Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE).

Jumlah pelanggan yang datang sangat kurang dan tidak perlu berbaris panjang untuk masuk ke premis berkenaan.

Pihak pengurusan pusat beli belah berkenaan juga dilihat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

Ini termasuklah memeriksa tahap risiko pelanggan yang masuk dengan melihat status pada aplikasi MySejahtera, selain melakukan imbasan suhu dan menyediakan cecair nyah kuman.

Tidak ada situasi berpusu-pusu di premis berkenaan dan pengurusan pelanggan yang masuk sangat teratur.

Untuk rekod pda 8 Mei yang lalu, Menteri Penyelaras Program Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, sistem amaran awal HIDE mampu mencegah pembentukan kluster baharu sekiranya penyenaraian lokasi yang dikenal pasti diambil tindakan awal oleh pihak berkuasa, pemilik premis dan orang awam.

Sebanyak 151 lokasi titik panas penularan Covid-19 disenarai dalam HIDE baru-baru ini yang membabitkan kawasan di zon tengah iaitu di Kuala Lumpur dan Selangor yang paling banyak tersenarai.-MalaysiaGazette