NEW DEHLI – Semakin ramai pakar tampil memberi amaran serta nasihat berhubung kepercayaan segelintir rakyat di India malah Sri Lanka bahawa tahi lembu boleh dijadikan penawar kepada pandemik Covid-19 adalah tidak betul.

Agensi di India melaporkan, doktor-doktor pakar di negara ini mendedahkan tidak ada sebarang bukti saintifik yang mengatakan tahi lembu berkesan dan mampu mengubati Covid-19.

Sebaliknya pakar-pakar memberi amaran amalan itu meningkatkan risiko penyebaran penyakit lain serta komplikasi kesihatan yang serius.

Presiden Persatuan Kesihatan India, Dr. JA Jayalal mendedahkan tiada bukti saintifik menunjukkan tahi atau air kencing lembu mampu meningkatkan tahap imuniti seseorang melawan virus tersebut.

“Ini hanyalah satu amalan mengikut kepercayaan sejak turun temurun segelintir tetapi ingatlah ia mampu mengundang penyakit dari haiwan kepada manusia,” ujarnya.

Amalan melumurkan tahi lembu ke seluruh badan sebelum mandi menggunakan susu atau air kunyit dipercayai segelintir masyarakat dapat meningkatkan imuniti selain menjadi penawar melawan Covid-19.

Malah laporan di Gujarat menyatakan terdapat individu mengunjungi pusat rawatan yang menawarkan mandian tahi lembu atau kencing lembu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Lemur badan dengan tahi lembu ganti nafas oxygen untuk pesakit pandemic nampaknya lebih menjimatkan belanja rawatan, kan?

Comments are closed.