Datuk Rokiah Omar (dua dari kiri) menyerahkan kotak barangan keperluan kepada wakil Surau Ar Raudah Taman Nusantara di Lace Boutique Hotel di Kampung Melayu Majidee di sini hari.

JOHOR BAHRU – Yayasan Hajah Rokiah bakal mendirikan masjid di Taman Nusantara, Iskandar Puteri dengan kos RM3.5 juta.

Pengasasnya, Datuk Rokiah Omar berkata, pembinaan masjid berkenaan adalah sebahgaian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat permotoran Lace Motor Sdn. Bhd.

Kerja pembinaan akan dimulakan dalam tempoh masa terdekat dan siap sebelum akhir tahun depan.

Katanya, masjid berkenaan dinamakan sempena nama Rukiah dan ia adalah istimewa bagi yayasan berkenaan kerana kali pertama mendirikan rumah Allah.

“Saya menerima senarai beberapa tapak yang diwakaf Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sebagai tapak pembinaan masjid, hati saya terbuka untuk memilih kawasan berkenaan.

“Saya mengambil kira faktor kawasan berkenaan ketiadaan masjid dan hanya sebuah surau dan ia tidak mampu menampung kapasiti jemaah di sekitarnya,” katanya selepas menyerahkan 600 kotak makanan untuk asnaf di sekitar Johor Bahru di Lace Boutique Hotel, di sini, hari ini.

Rokiah yang menyifatkan pembinaan masjid berkenaan sebagai saham akhirat berkata, yayasan berkenaan juga bercadang untuk membina masjid di Sungai Tiram, di sini, yang dijangka memakan belanja sebanyak RM2.5 juta.

Menurutnya, pihaknya juga merancang membina madrasah di Johor Bahru padaa masa depan.

“Masjid adalah menjadi tempat menyuburkan keimanan dan ketaqwaan supaya kehidupan kita mengikut landasan yang berkat dan diredhai Allah.

“Saya amat bersyukur dapat meneruskan hasrat berkenaan dan pada masa sama saya menghargai komuniti yang memberi sokongan kepada syarikat termasuk ketika pandemik,” katanya.

Datuk Rokiah Omar (dua dari kiri) menyerahkan kotak barangan keperluan kepada wakil Surau Ar Raudah Taman Nusantara di Lace Boutique Hotel di Kampung Melayu Majidee di sini hari.

– Malaysiagazette