KUALA LUMPUR – Seramai 440 individu ditahan pihak berkuasa kerana ingkar dengan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut seramai 435 orang telah dikenakan kompaun manakala lima lagi ditahan reman.
“Kesalahan yang dilakukan oleh individu ingkar ini termasuklah gagal merekodkan butiran diri serta daftar masuk premis iaitu 185 kesalahan dan 138 lagi tidak memakai pelitup muka.
“Kesalahan lain yang direkodkan adalah tiada penjarakan fizikal iaitu sebanyak 15 kesalahan dan 102 lagi atas lain-lain kesalahan,” katanya dalam kenyataan harian mengenai perkembangan PKP hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 66,242 pemeriksaan semalam.
“Seramai 3,537 Pasukan Pematuhan melibatkan 15,422 anggota telah membuat pemantauan di 4,648 pasaraya, restoran (4,803), kilang (2,522), bank (4,113), pejabat kerajaan (1,108) dan penjaja (2,620).
“Turut dipantau ialah pasar awam/tani (2,062), tempat ibadah (3,383), tempat riadah (1,713), terminal pengangkutan darat (1,720), terminal pengangkutan air (349) dan terminal pengangkutan udara (115), “ ujarnya. -MalaysiaGazette