PULAU PINANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam di Pulau Pinang, Joseph Ng Soon Siang meminta maaf berhubung perhiasan Aidilfitri yang mewujudkan perasaan tidak puas hati netizen.
Perhiasan di bulatan di Jalan Air Itam itu pada asalnya merupakan replika lembu yang merayakan Tahun Lembu pada Tahun Baharu Cina.
Perhiasan lembu itu bagaimanapun diubah suai dengan dipakaikan samping dan songkok selain memegang ketupat selari dengan perayaan Aidilfitri.
Warganet bagaimanapun tidak menerima “kreativiti” itu dan berpendapat mereka telah “dilembukan” dalam perhiasan itu.
Soon Siang ketika dihubungi Kwong Wah Yit Poh berkata, beliau meminta maaf atas apa yang berlaku.
Kata beliau, sejak tahun lalu, pihaknya giat menghiasi Bulatan Ayer Itam menggunakan tema-tema perayaan di Malaysia.
“Semasa Tahun Baharu Cina, replika lembu ini memakai baju tahun baharu dan memegang perhiasan Cina.
“Asalnya, kami ingat boleh berkreatif dengan menukarkan baju tahun baharu dengan samping dan menjadikan replika lembu itu memegang ketupat.
“Tanpa disangka, sesetengah orang berpendapat perhiasan berkenaan tidak menghormati Muslim dan mereka melihat telah dilembukan.” katanya.
Kata Soon Siang, selepas menerima reaksi negatif, pihaknya telah menanggalkan perhiasan tidak disenangi itu pada Isnin.
Soon Siang berkata, beliau bukannya sengaja untuk menyentuh sensitiviti mana-mana pihak, tetapi niat asalnya adalah untuk mewujudkan suasana perayaan di Ayer Itam. – MalaysiaGazette