Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Pada ketika restoran dan kedai kopi meminta kelonggaran untuk makan di kedai, timbul pula laporan mengenai jangkitan yang berpunca daripada aktiviti makan dan minum secara berkumpulan.

China Press melaporkan, seorang lelaki di Kajang, Selangor disahkan positif Covid-19 selepas minum di kedai kopi dengan kawan yang menyembunyikan simptom.

Kawan itu yang kemudian disahkan sebagai positif tidak lama kemudian turut menjangkit kepada orang lain yang minum semeja dengannya.

Lelaki Kajang yang mengetahui rakannya positif segera menjalankan ujian saringan yang menunjukkan dirinya, isteri berserta seorang anak perempuan juga disahkan sebagai positif.

Lelaki yang dipercayai dijangkiti melalui aktiviti minum-minum itu telah dihantar untuk menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh manakala anak perempuannya dimasukkan ke pusat kuarantin.

Sementara itu, Sinchew Daily melaporkan, seorang pemimpin persatuan Cina juga dijangkiti COVID-19 selepas menghadiri makan-makan dengan kawan lain.

Daripada lapan orang yang menghadiri aktiviti makan-makan itu, tujuh orang telah disahkan positif walaupun mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP), termasuk menyukat suhu badan.

Selepas aktiviti bersosial itu, terdapat orang yang menunjukkan simptom keesokan harinya dan ada yang menunjukkan tanda-tanda sakit tekak dan demam dua hingga tiga hari kemudian.

Jangkitan turut menular kepada ahli keluarga dan pembantu rumah mereka. – MalaysiaGazette