Presiden Turki, Tayyip Erdogan

ANKARA – Presiden Recep Tayyip Erdogan dan Vladimir Putin berbincang mengenai ketegangan di Gaza dan pencerobohan Israel menerusi panggilan telefon dengan Presiden Turki itu berkata, Ankara mahu tindakan antarabangsa dikenakan terhadap Israel.

Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza pada pagi semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 48 orang meninggal dunia, termasuk kanak-kanak dan wanita.

Kumpulan Hamas dan kumpulan penetang Palestin yang lain membalas dengan melancarkan roket ke arah Israel.

Erdogan berkata, memandangkan Turki dan Rusia mempunyai pendirian sama terhadap perkembangan di Palestin, ia membawa mesej yang penting, lapor TNT World.

Erdogan memberitahu Putin bahawa masyarakat antarabangsa perlu ‘mengajar’ Israel dan Ankara sedang berusaha untuk menggerakkan tindakan tersebut, menurut satu kenyataan daripada pejabatnya.

Erdogan berkata, negara-negara terbabit perlu membincangkan ‘idea menghantar pasukan tentera perlindung antarabangsa ke wilayah itu dalam usaha melindungi orang awam Palestin’.

“Majlis Keselamatan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) perlu melibatkan diri, beri mesej yang jelas kepada Israel untuk menghentikan serangan sebelum krisis bertambah teruk,” kata Erdogan.

Erdogan telah meningkatkan diplomasi dengan membuat panggilan telefon kepada beberapa pemimpin serantau dan mengutuk keganasan Israel.

Selain itu, Turki turut membatalkan jemputan kepada Menteri Tenaga Israel, Yuval Steinitz menghadiri Forum Diplomasi Antalya di bandar pantai di selatan negara itu pada 18 hingga 20 Jun ini.

Sementara itu, Putin menggesa Israel dan Palestin berhenti menyerang.

“Kebimbangan yang serius mengenai pertempuan berterusan dan bilangan mereka yang terkorban serta cedera meningkat,” kata Kremlin dalam satu kenyataan sambil menambah Putin telah ‘menggesa pihak yang terlibat mengurangkan ketegangan dan menyelesaikan isu yang timbul secara aman.

Sekurang-kurangnya 48 penduduk Palestin terbunuh manakala 304 yang lain cedera dalam serangan yang dilakukan Israel ke atas Gaza ketika ketegangan di seluruh wilayah Palestin meningkat selepas polis Israel menyerbu pekarangan Masjid Al-Aqsa di timur Baitulmaqdis dan menyerang jemaah masjid itu.

Enam warga Israel terbunuh dan 45 lagi cedera akibat serangan roket Palestin.

Ketegangan meningkat sejak minggu lalu selepas mahkamah Israel mengarahkan keluarga-keluarga Palestin yang tinggal di kejiranan Sheikh Jarrah di timur Baitulmaqdis diusir. – Malaysiagazette