Dua lelaki yang dalam perjalanan ke Kelantan ditahan di sekatan jalan raya (SJR) Tol Bentong kerana disyaki memalsukan borang rentas negeri baru-baru ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Rakyat semakin patuh dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan, malah tiada lagi alasan-alasan mengarut diberikan seperti sebelum ini.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya, pihaknya berpuas hati dan dapat menarik nafas lega memandangkan tahap pematuhan serta pemahamaan rakyat terhadap arahan PKP semakin meningkat.

“Pagi ini kami masih teruskan SJR (sekatan jalan raya) di Tol Sg Besi dan Tol Jalan Duta, juga selepas tol Sg Besi juga ada SJR. Keadaan kenderaan amat berkurangan.

“Kita lihat tahap pematuhan juga semakin tinggi, masyarakat sudah sedar dan tidak bergerak sesuka hati kecuali mempunyai surat daripada polis atau MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) sendiri. Setakat ini Alhamdulilah.

“Aliran trafik juga tidak sesak dan nampak terkawal ketika ini,” katanya kepada media ketika ditemui pada SJR Tol Jalan Duta menghala ke Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), ACP Zulkefly Yahya bercakap kepada media selepas memantau pelaksanaan Sekatan Jalan Raya (SJR) sempena perayaan Aidilftiri di Plaza Tol Duta, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 13 MEI 2021.

Jelas Zulkefly, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak enam kompaun kepada pengguna jalan raya yang bergerak tanpa permit dan dokumen sejak Sabtu lalu.

“Tidak banyak. Kita juga setakat ini tidak pula mendengar alasan hendak balik kampung sebaliknya kebanyakan mereka merentas daerah, ada yang dari Klang hendak ke KL untuk beli baju raya anak.

“Kita telah jelaskan yang boleh merentas daerah hanya atas urusan kerja sahaja, tidak boleh beli belah untuk Hari Raya,” ujarnya.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata sebanyak 13 SJR akan diadakan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya sempena Aidilfitri.

Antara SJR itu ialah di Jalan Persekutuan, Lebuhraya Sungai Besi, Plaza Tol Jalan Duta dan Jalan Ampang berdekatan Bangunan Risda dengan hampir 400 pegawai dan anggota akan dikerahkan untuk bertugas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast