Sebahagian warga kota menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri di perkarangan masjid pada pagi 1 Syawal dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Tahun ini merupakan tahun kedua buat umat Islam di negara ini menyambut lebaran dalam suasana pandemik Covid-19.

Tinjauan MalaysiaGazette di Masjid Negara mendapati orang ramai mula memenuhi kawasan pekarangan seawal pukul 7.30 pagi untuk mendapatkan giliran bagi menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

Namun difahamkan hanya individu yang telah membuat pendaftaran awal sahaja dibenarkan untuk masuk ke dalam masjid.

Manakala ratusan yang lain hanya menunaikan solat sunat dan mendengar khutbah raya di luar dengan mematuhi penjarakan fizikal satu meter antara satu sama lain.

Turut kelihatan beberapa orang jemaah wanita menunaikan solat raya di luar pekarangan masjid.

Sebahagian warga kota yang hadir untuk menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri di perkarangan masjid pada pagi 1 Syawal dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 MEI 2021.

Seorang jurutera, Huzair Ahmad, 29, berkata, beliau berasa sedih dan kecewa kerana sudah masuk tahun kedua tidak dapat pulang ke kampung halaman di Kedah untuk menyambut lebaran bersama orang tuanya.

“Saya rasa sedih kerana dah dua tahun tak dapat nak beraya jadi tahun ini ingatkan boleh pulang ke kampung tapi nak buat macam mana kena pentingkan kesihatan dan jaga SOP.

“Tadi saya datang awal pukul 7 pagi dan memang tahu masjid hadkan jemaah, cumanya ingin rasa suasana raya jadi saya datang juga ke masjid kerana kami pun duduk bujang,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Sebahagian warga kota menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri di perkarangan masjid pada pagi 1 Syawal dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 MEI 2021.

Terdahulu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan solat Jumaat, fardu, solat sunat Aidilfitri dan solat berjemaah lain dilaksanakan di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, ditetapkan hanya 50 jemaah bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah.

Bagi masjid dan surau dengan kapasiti di bawah 1,000 orang pula hanya dibenarkan 20 jemaah saja. – Malaysia Gazette