Gambar hiasan

BEIJING – Lima pelajar Cina dipenjara setelah salah seorang daripada mereka berjaya mengeksploitasi kesilapan dalam sistem pesanan dalam talian KFC untuk mendapatkan bekalan ayam percuma tanpa had dan kemudian menjualnya semula kepada rakan-rakannya.

Seorang pelajar universiti berusia 23 tahun, yang dikenali sebagai Xu, menipu KFC untuk makanan percuma bernilai 6,500 pound hanya dalam enam bulan setelah dia pertama kali menemui kelompongan dalam aplikasi mudah alihnya pada tahun 2018.

Dia kemudian berkongsi rahsia itu dengan empat rakannya untuk bersama-sama melakukan penipuan ayam bernilai 15,500 pound sebelum mereka ditahan, lapor Thepaper.cn.

Xu dijatuhi hukuman penjara dua tahun setengah dan didenda 700 pound manakala rakan-rakannya dipenjara antara 13 bulan dan dua tahun.

Dia pertama kali menemui kesilapan itu ketika secara tidak sengaja mengetahui bahawa dia dapat membeli makanan menggunakan voucher daripada aplikasi telefon KFC dan mendapat pengembalian kupon dengan menggunakan aplikasi WeChat.

Sejak itu Xu mula mendapat makanan percuma dari KFC untuk dirinya sendiri dan berkongsi teknik itu dengan rakan-rakannya.

Dia juga mula menjual makanan itu kepada rakan-rakannya dengan harga yang murah untuk menjana keuntungan tanpa membayar apa-apa.

Mereka berlima akhirnya ditangkap dan Xu mengaku bersalah kerana menggunakan kesilapan sistem itu untuk mendapatkan ayam percuma serta berkongsi maklumat dengan rakan-rakannya.

Kejadian itu menjadi topik perbincangan hangat dalam media sosial China dengan sebilangan pengguna mengatakan hukuman itu berat, sementara yang lain mengatakan bahawa aplikasi tersebut harus dipersalahkan kerana terdapat kelemahan dalam sistem pesanannya.

Mahkamah memutuskan bahawa lima daripadanya mengambil kesempatan ke atas ketidaksepadanan data dalam sistem pesanan KFC dan melakukan penipuan.

Antara April hingga Oktober 2018, Xu telah menyebabkan kerugian bernilai 6,500 pound kepada KFC dengan pesanannya dan rakan-rakannya juga memesan makanan bernilai pound 1,000 dan 5,200 pound setiap satu, kata mahkamah. – MalaysiaGazette