Adham Baba

KUALA LUMPUR – Sejumlah 732,310 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan setakat semalam, menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menerusi akaun Twitternya hari ini, beliau berkata, angka itu adalah sebahagian daripada 1,182,244 individu yang telah menerima dos pertama sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 1,914,544 dos setakat semalam.

Lima negeri yang lengkap menerima kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 99,797 dos diikuti Kuala Lumpur (80,657), Johor (69,562), Sarawak (69,353) dan Sabah (59,639).

Setakat semalam, 41.60 peratus atau 10,102,697 individu telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor mencatat jumlah pendaftaran tertinggi berjumlah 2,599,934 orang.

Mengikut perancangan program imunisasi itu, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April lepas melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula April hingga Ogos ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya manakala fasa ketiga, yang dijadual pada Mei tahun ini hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast