Kesan darah dilantai selepas seorang bapa ditikam anaknya sendiri di Taman Alma Jaya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

BUKIT MERTAJAM – Seorang penuntut kolej vokasional bertindak mencederakan perut serta tangan bapanya menggunakan pisau dalam kejadian di rumah mereka di Taman Alma Jaya di sini semalam.

Kejadian berlaku jam 11 pagi ketika ibu lelaki berusia 17 tahun itu memintanya menjamu selera susulan tidak menjamah sebarang juadah raya.

Tidak puas hati dengan teguran ibunya itu, suspek masuk ke dapur sebelum keluar melulu dan bertindak mencederakan ayahnya berusia 60 tahun menggunakan sebilah pisau potong buah.

Polis rampas pisau yang digunakan suspek.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, insiden itu disedari jiran yang tinggal bersebelahan sebelum  menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan pada bahagian perut serta tangan kirinya.

“Siasatan lanjut mendapati suspek bertindak luar jangkaan akibat ditegur ibunya untuk menjamah makanan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan itu mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

“Susulan itu, kita menahan suspek untuk membantu siasatan dan merampas pisau yang digunakan di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah beliau, hasil siasatan lanjut mendapati suspek mengalami kemurungan sejak setahun lalu dan sedang mendapatkan rawatan dan pemantauan dari Bahagian Psikiatrik Hospital Bukit Mertajam.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut  Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” ujar Shafee. – MalaysiaGazette