Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di Kampung Lubok Redan,Alor Gajah Melaka dan Kampung Kongsi 8 Tawau Sabah mulai Ahad ini.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan itu susulan situasi penularan Covid-19 di Kampung Lubok Redan menunjukkan peningkatan ketara kes dalam tempoh dua minggu apabila sebanyak 56 kes positif telah direkodkan di lokaliti ini.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Kampung Lubok Redan, Alor Gajah, Melaka bermula bermula Ahad ini sehingga 29 Mei ini.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti luar,” katanya menerusi satu kenyataan perkembangan harian pelaksanaan PKP di sini.

Dalam satu lagi perkembangan sama, Ismail Sabri turut mengumumkan penguatkuasaan PKPD Lorong 2 Kampung Kongsi 8, Tawau bagi tempoh yang sama bermula Ahad ini.

Menurut beliau, KKM telah melaporkan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di Lorong 2 Kampung Kongsi 8.

Sehingga kini, KKM melaporkan sebanyak 15 kes positif Covid-19 telah direkodkan hasil daripada 56 saringan di lokaliti ini serta dengan kadar positiviti adalah 26.79 peratus.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Lorong 2 Kampung Kongsi 8, Tawau, Sabah bermula dari 16 hingga 29 Mei ini,” ujarnya.

Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM menjalan pengesanan awal (ACD) kes-kes positif supaya dapat diasingkan secepat mungkin dan mengekang penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti lain.

Selain itu, PKPD turut dilanjutkan di SMK Madai Kunak Sabah yang sepatutnya ditamatkan pada hari ini.

Kata Ismail Sabri, kerajaan dalam perkembangan terbaharunya telah melaksanakan 895 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 42 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“Justeru KKM melaporkan masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan PKPD serta terdapat sebanyak 51 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

“Maka setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan membuat keputusan untuk melanjutkan PKPD di SMK Madai bermula esok 15 Mei sehingga 28 Mei ini,” tambah beliau.

Sementara itu, PKPD di Kampung Bergosong, Tawau pula ditamatkan esok mengikut jadual asal.

“KKM telah melaksanakan 499 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 28 kes positif Covid-19 direkodkan selain mengesahkan baki kes aktif menunjukkan trend penurunan dan kesemua kes positif telah menerima rawatan serta kontak rapat telah diasingkan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kampung Bergosong seperti yang dijadualkan,” katanya-MalaysiaGazette