Ketua Armada Bersatu Bahagian Kota Raja, Muhammad Affendi Mohd. Dilif

KUALA LUMPUR – Perbuatan anak-anak muda membakar suar sambil menyalahkan kerajaan dalam kejadian di Parit Raja, Batu Pahat, Johor baru-baru ini menunjukkan golongan tersebut memerlukan hala tuju yang betul dan pengisian kerohanian.

Tanpa pengisian jiwa yang positif, anak-anak muda bukan sahaja mudah diperkotak-katikkan oleh pihak berkepentingan politik tertentu, malah dipergunakan untuk tujuan menggugat ketenteraman awam.

Ketua Armada Bersatu Bahagian Kota Raja, Muhammad Affendi Mohd. Dilif berkata, lebih malang lagi kejadian itu berlaku ketika perintah darurat masih berkuatkuasa.

Ini bermakna anak-anak muda yang terbabit dalam insiden tersebut langsung tidak memahami apa itu perintah darurat.

Beliau yakin insiden itu didalang oleh pihak tidak bertanggungjawab yang dengan mudah menghasut anak-anak muda terbabit demi kepentingan politik diri sendiri.

“Tanpa menyedari kesan daripada tindakan itu, anak-anak muda terbabit menjadikan perbuatan mereka itu suatu kebanggaan walaupun semasa perintah darurat.

“Kami berpandangan bahawa insiden itu boleh dielakkan jika anak-anak muda terbabit mempunyai hala tuju yang betul serta jadi diri.

“Jadikan kejadian itu satu iktibar. kerajaan perlu sentiasa mendekati anak-anak muda ini kerana mereka memerlukan pengisian jiwa dan pengetahuan yang betul supaya tidak ada pihak dengan mudah mempergunakan mereka.

“Jika setiap anak muda dalam negara ini diterapkan pengisian yang betul, saya yakin mereka tidak mudah terpengaruh atau terikut-ilkut dengan desakan atau hasutan politik pihak tidak bertanggungjawab.

“Malah, pengisian yang betul akan menjadikan anak-anak muda ini lebih bertanggungjawab terhadap negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau seterusnya berkata, ilmu kerohanian sebagai pengisian jiwa untuk anak-anak muda amat penting, tambahan pula undi 18 tahun dijangka berkuatkuasa dalam beberapa bulan lagi.

“Penting setiap anak muda di negara ini dibina, dibimbing serta diisi dengan pengetahuan yang betul kerana mereka bakal mewarisi negara ini.

“Jika kita terlepas pandang mengenai pentingnya pengisian jiwa melibatkan golongan anak-anak muda, akibatnya negara akan hancur,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.