KUALA LUMPUR – Dunia perlu bersatu dalam mengecam dan menentang kekejaman yang telah dan sedang dilakukan oleh Israel ke atas Palestin tanpa mengira ideologi mahupun latar belakang.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan meluahkan rasa hiba dengan apa yang sedang berlaku kepada Palestin dan mahu lebih ramai pemimpin dunia termasuklah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersatu hati menentang rejim Zionis.
“Saya secara peribadi ingin melahirkan rasa dukacita, sedih, hiba dan kecewa dengan apa yang berlaku di Semenanjung Gaza ketika ini, apa yang sedang terjadi kepada rakyat Palestin sungguh menyakitkan.
“Tindakan Israel yang tidak berperikemanusiaan dan tidak adil mesti dikutuk dengan teruk oleh masyarakat antarabangsa melalui hukuman yang paling keras.
“Bayangkan ketika ini dunia sudah melalui satu fasa cukup susah iaitu pandemik Covid-19, di kala itu juga kekejaman Zionis ini seperti tidak ada penghujungnya, sesuatu perlu dilakukan,” tulisnya dalam Facebook beliau hari ini.
Tambahnya, dunia perlu bersatu hati menentang kekejaman ini untuk selamanya. Rakyat Palestin sedang menderita untuk sekian lama, tanpa perikemanusiaan hak asasi mereka dicabul seperti ini.
Walaupun dunia menghadapi wabak, rakyat Palestin diserang, dibom dan ditembak dan ini mesti dihentikan.
Menurut beliau, hakikatnya dunia tidak boleh bertahan dan menyaksikan kekejaman yang dilakukan oleh pemerintah Israel atas nama mempertahankan wilayahnya terhadap Palestin.
Sudah tiba masanya masyarakat antarabangsa bertindak menentang rejim Zionis.
Jelas Saravanan lagi, tragedi yang melanda rakyat Palestin adalah isu kemanusiaan sejagat yang perlu diberi perhatian oleh dunia.
Justeru, kesengsaraan dan penderitaan umat Islam di Palestin perlu dihentikan tidak kira apa jua sekalipun.
“Isu Palestin adalah isu kemanusiaan sejagat yang tidak diambil endah oleh dunia walaupun jelas terserlah kebiadapan rejim Zionis,” ujarnya. – MalaysiaGazette