Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus memperkasa peranan belia melalui penubuhan Kumpulan Penasihat Anak Muda kepada Perdana Menteri yang merupakan salah satu cadangan oleh Majlis Belia Malaysia.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia merupakan inisiatif  baik agar suara generasi belia di peringkat akar umbi dapat didengari dan seterusnya menyumbang kepada perancangan dasar kerajaan.

“Pada masa ini proses pemilihan calon sedang dimuktamadkan dan barisan anak muda yang terpilih untuk menganggotai Kumpulan Penasihat Anak Muda ini akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Melalui platform ini, saya berharap lebih ramai belia dapat terlibat secara langsung dalam merangka strategi pembangunan negara yang menyeluruh,” katanya menerusi perutusan sempena Hari Belia Negara 2021, hari ini.

Perdana Menteri berkata, pada masa sama, bagi mencapai agenda pemerkasaan komuniti, fokus turut diberi kepada elemen tanggungjawab sosial dalam pembangunan belia menerusi bidang kesukarelawan misalnya, penyertaan belia sebagai Sukarelawan MyVac Sukarelawan Rakan Muda.

Ujarnya, penggemblengan tenaga anak muda ini merupakan usaha sama antara KBS dan kementerian serta agensi yang lain seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk membantu meringankan beban para petugas barisan hadapan sepanjang tempoh pandemik dan pemberian vaksin Covid-19 yang sedang dilaksanakan Kerajaan.

Jelasnya, sehingga 3 Mei 2021, seramai 10,500 orang telah pun mendaftarkan diri sebagai sukarelawan MyVac manakala 5,360 orang yang mendaftar sebagai sukarelawan Rakan Muda Sports Bubble.

Daripada jumlah tersebut, menurut Muhyiddin, seramai 80 peratus sukarelawan terdiri daripada golongan yang berumur di antara 15 hingga 40 tahun.

“Penyertaan besar golongan belia ini merupakan bukti sumbangan warga ini untuk membantu masyarakat dan kerajaan dalam usaha menamatkan wabak Covid-19 dan memulihkan semula ekononomi negara.

“Kerajaan menghargai sumbangan belia dalam aspek ini dan peranan yang disumbangkan untuk mencapai hasrat Wawasan kemakmuran Bersama 2030 sebagai aspirasi kita bersama untuk generasi masa depan,” tambahnya. – MalaysiaGazette