Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai menyampaikan lemang kepada anggota polis bertugas selepas sidang media mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika di Ibu pejabat Daerah Sentul, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Tipu helah seorang pemuda yang memasuki pasar raya di Jinjang dengan tangan kosong sebelum keluar dengan barang yang dituntut menggunakan resit pelanggan lain akhirnya terbongkar.

Tindakan berani pemuda berusia 21 tahun itu dihidu oleh pasar raya tersebut sebelum suspek dicekup polis semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung insiden itu daripada pihak pengurusan pasar raya berkenaan yang mula ragu dengan tuntutan lelaki berkenaan.

Kata Eng Lai, modus operandi lelaki berkenaan adalah mengutip resit daripada pelanggan lain di tempat letak motosikal sebelum masuk ke pasar raya itu untuk mencari barang yang tertera pada resit seperti lampin pakai buang dan susu formula bayi.

“Suspek kemudian akan pergi ke kaunter perkhidmatan pelanggan kononnya untuk menukar barang berkenaan dengan alasan tersilap saiz serta jenama.

“Namun penipuannya berjaya dikesan pasar raya berkenaan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini.

Tambah Eng Lai, penyelia pasar raya berkenaan yang curiga dengan tindakan suspek itu  telah membuat pemeriksaan menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

Hasil pemeriksaan pada rakaman CCTV di pasar raya itu mendapati rupa-rupanya lelaki berkenaan masuk ke dalam premis dengan ‘tangan kosong’ sebelum mengambil barang tertera dalam resit untuk ditebus di kaunter perkhidmatan pelanggan.

“Suspek yang disoal siasat akhirnya mengaku berjaya memperdaya pekerja dan melakukan perbuatan sama di pasar raya berkenaan sebanyak dua kali pada awal tahun ini.

“Suspek kini telah direman selama empat hari bermula hari ini hingga 18 Mei ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” ujarnya.

Terdahulu, Eng Lai telah meluangkan masa dengan mengagihkan lemang dan rendang kepada pegawai dan anggota di bawah pentadbirannya yang mengorbankan masa bertugas pada Hari Raya Aidilfitri.

“Pemberian ini adalah sebagai penghargaan tinggi kepada pengorbanan anak buah saya yang tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga mereka kerana bertugas.

“Saya ambil berat keadaan ini dengan menghulurkan juadah raya tradisional ini yang serba sedikit akan menceriakan mereka sepanjang bertugas pada Hari Lebaran kali ini demi mengawal ketenteraman awam di daerah Sentul sepanjang masa,” ujarnya. -MalaysiaGazette