ACP Arifai Tarawe

GOMBAK – Polis sedang memburu seorang pemandu lori yang membelasah seorang pemandu e-hailing sehingga cedera.

Kejadian itu berlaku gara-gara berang kerana pemandu e-hailing tidak memberi laluan kepada pemandu lori.

Akibat tidak puas hati, pemandu lori itu telah mengekori kereta pemandu e-hailing sehingga di lampu isyarat di Jalan Batu Caves.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, setibanya di persimpangan lampu isyarat berhampiran sebuah pasar raya di Batu Caves, mangsa menyedari lori tersebut sedang mengekorinya dari arah belakang.

“Ketika mangsa berhenti di lampu isyarat merah bawah jambatan Batu Caves, tiba-tiba
seorang lelaki disyaki pemandu turun dari lori berkenaan sebelum datang ke arah kereta dan telah menendang di bahagian belakang kereta mangsa dan pintu sebelah pemandu sehingga kemek.

“Mangsa yang terkejut dengan tindakan lelaki itu kemudian keluar dari keretanya dan bertanyakan tindakan lelaki tersebut sebelum secara tiba-tiba lelaki (pemandu lori itu) terus menumbuk mangsa di bahagian muka, badan dan turut menendang di bahagian belakang dan hadapan badan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Insiden itu berlaku pada Jumaat sekitar jam 5.30 petang ketika pemandu e-hailing itu membawa penumpang.

Akibat daripada kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan lebam di bahagian mata, hidung berdarah dan turut lebam di bahagian lengan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Tambah beliau, berdasarkan siasatan awal polis dipercayai suspek tidak berpuashati atas tindakan mangsa yang tidak memberi laluan jalan kepada lorinya.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera dan khianat harta benda.

“Dalam kes ini, pihak polis sedang mengesan seorang saksi penting iaitu penumpang yang berada di dalam kereta mangsa untuk membantu siasatan polis.

Polis memohon kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian ini untuk tampil memberi maklumat dengan menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Muhammad Ekhmal Nasir Khan di talian 0133020385 atau 03-61262222. MalaysiaGazette