Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Dua penerbangan yang terlibat dalam misi Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (HADR) baru-baru ini tidak membawa warganegara India atau pelancong.

Malah, tidak ada kru penerbangan dari India yang dibenarkan menjejakkan kaki ke Malaysia.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee yang menegaskan perkara itu berkata, misi itu mendapat kelulusan diplomatik oleh Kementerian Luar Negeri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan penerbangan ini disewa dari Malindo dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan yang ketat.

Lantaran itu, tulisan putar belit oleh sebuah blog yang mendakwa Kementerian Pengangkutan telah membenarkan penerbangan penumpang melibatkan warganegara India ke Malaysia walaupun terdapat larangan penerbangan penumpang adalah fitnah dan tidak benar sama sekali.

”Dua penerbangan yang dimaksudkan sebenarnya terlibat dalam misi HADR yang mendapat kelulusan diplomatik oleh Kementerian Luar Negeri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Penerbangan ini disewa dari Malindo dan mematuhi SOP KKM yang ketat.

”Tempoh kuarantin bagi mereka yang tiba pada 12 Mei 2021 dilanjutkan dari 14 hari kepada 21 hari setelah tujuh daripada 132 orang penumpang iaitu 117 orang rakyat Malaysia, lapan warga Brunei, empat warga Denmark, dua pasangan kepada rakyat Malaysia warganegara India dan seorang warga Indonesia disahkan positif COovid-19. Perkara ini diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada 14 Mei 2021.

”Penerbangan kedua pesawat Malindo adalah pada 13 Mei melibatkan seramai 41 warganegara Malaysia dan dua pasangan mereka warganegara India dibawa pulang ke Malaysia dengan pesawat yang sama dan turut dikenakan tempoh kuarantin sama.

”Ditegaskan bahawa kedua-dua penerbangan pulang ke Malaysia ini tidak membawa warganegara India atau pelancong dan tidak ada kru penerbangan dari India yang dibenarkan menjejakkan kaki ke Malaysia,” ujar beliau. – MalaysiaGazette