Bomba sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit. Gambar: Ihsan bomba

TANGKAK- Seorang penjual pintu maut selepas kereta Honda Civic dipandunya hilang kawalan dan terbabas memasuki ke dalam kawasan kebun sawit di Kilometer 44 Jalan Muar-Segamat, di sini, awal pagi hari ini.

Kejadian jam 4.50 pagi itu menyebabkan mangsa, Tan Zi Ang, 30, meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit dalam kereta.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd. Fadhil Minhat berkata, ketika kejadian mangsa dari Kebun Baru, Jementah dalam perjalanan menghala balik ke Tangkak.

“Sejurus tiba di tempat kejadian, kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan.

“Kenderaan mangsa terpelanting sejauh kira-kira 50 meter dari jalan utama sehingga masuk ke kawasan kebun sawit,” katanya dalam satu kenyataan disini.

Menurut Mohd. Fadhil, mangsa yang merupakan penjual pintu disahkan maut di tempat kejadian akibat parah pada kepala dan badan.

“Bedah siasat akan dijalankan hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas.- Malaysiagazette