KOTA BHARU – Trend kemasukan pesakit COVID-19 dalam kalangan wanita di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di negeri ini menunjukkan peningkatan sejak beberapa hari lepas.
Pengarah PKRC Kelantan Dr Mohd Azman Yacob berkata, kemasukan itu menunjukkan peningkatan mencecah 15 peratus berbanding sebelum ini, sehingga kuota PKRC yang sedia ada tidak mampu menampung jumlah pesakit wanita.
Beliau berkata, disebabkan peningkatan itu pihaknya hari ini mengambil inisiatif memindahkan pesakit lelaki COVID-19 yang berada di PKRC Tanah Merah untuk menempatkan pesakit wanita.
“PKRC Tanah Merah ini mampu menempatkan 200 pesakit wanita pada satu-satu masa,” katanya kepada pemberita selepas meninjau PKRC Gelanggang Seni, di sini hari ini.
Bagi menampung keperluan pesakit wanita yang semakin meningkat, Dr Mohd Azmzn berkata PKRC Gelanggang Seni yang merupakan PKRC kelapan di negeri itu juga akan menempatkan pesakit wanita.
“Malah, PKRC Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Pasir Mas yang dibuka pada Selasa lepas (11 Mei) juga sudah hampir penuh dengan kapasiti seramai 160 pesakit wanita, selain di PKRC Dewan Putik Pengkalan Chepa juga hampir penuh, dengan 200 pesakit wanita,” katanya.
Pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku peningkatan pesakit COVID-19 dalam kalangan wanita disebabkan kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu.
Kelantan merekodkan 109 kes baharu COVID-19 hari ini, dengan 107 adalah kes tempatan manakala selebihnya kes import.
Sementara itu, dalam lawatannya Dr Mohd Azman turut menerima sumbangan 30 bantal untuk kegunaan pesakit COVID-19 di PKRC Gelanggang Seni daripada Penyelaras Bantuan COVID-19 Persatuan Tzu Chi Cawangan Kelantan Evone Lim dan Gabungan Pemuda Tiong Hwa. – MalaysiaGazette