Anifah Aman

KUALA LUMPUR – Dunia sudah tidak boleh berdiam diri lagi melihat kekejaman yang sedang dan masih dilakukan oleh ejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

Malah sudah tiba masanya untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tampil bertindak mendesak Israel menghentikan pencerobohan terhadap bumi Palestin itu.

Itu luahan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang cukup kecewa, kesal dan marah melihat penduduk Palestin terus hidup dalam penderitaan.

Malah beliau kesal kerana sehingga saat ini belum ada jalan penyelesaian buat mereka.

“Kita (masyarakat antarabangsa) sudah tidak mampu dan berdiam diri dengan terus membiarkan kekejaman yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin.

“Serangan udara baru-baru ini oleh Israel di Gaza yang mengakibatkan banyak kematian termasuk wanita dan kanak-kanak berterusan tanpa tindakan oleh masyarakat antarabangsa.

“Sekatlah Israel itu, usaha sehabis mungkin perlu dilakukan pada masa ini. Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab, PBB dan seluruh dunia perlu mengambil tindakan tegas menghentikan kekejaman Israel ke atas Palestin.

“Kita sudah tidak mampu berdiam diri seperti ini dan melihat sahaja apa yang dilakukan oleh rejim zionis terhadap Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anifah yang juga Presiden Parti Cinta Malaysia (PCS) mendedahkan hakikatnya Israel sememangnya berterusan melanggar undang-undang antarabangsa dengan melakukan keganasan terhadap Palestin.

“Memang sangat membimbangkan apabila Israel terus tidak bertanggungjawab dan membenarkan justifikasi tidak masuk akal sebagai alasan untuk melanjutkan keganasan dengan tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap Palestin,” tegasnya.

Ini bukan kali pertama Anifah bercakap tentang kekejaman Israel kerana ketika berkhidmat sebagai Menteri Luar antara tahun 2009 sehingga tahun 2018, beliau bersikap lantang dengan Israel.

Anifah sudah berkali-kali mendesak OIC memainkan peranan dan memberi tekanan untuk memastikan Israel menghentikan pencerobohan dan keganasan terhadap rakyat Palestin. -MalaysiaGazette