Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB)

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) akan meneruskan Bantuan Pembayaran Semula Bersasar Dipertingkatkan (ETRA) untuk para pelanggan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Langkah ini selari dengan seruan Bank Negara Malaysia (BNM) kepada institusi perbankan dan kewangan untuk membantu peminjam mengikut keadaan kewangan masing-masing berikutan
penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (“PKP”) di seluruh negara.

Selaras dengan Bantuan Pembayaran Bersasar (TRA) sedia ada yang ditawarkan mengikut kelayakan pelanggan, Bank Islam kini menawarkan pelanggan di bawah bantuan moratorium, tambahan tiga bulan penangguhan ansuran pembiayaan mereka.

Manakala pelanggan yang sebelum ini memilih untuk mengurangkan bayaran ansuran pembiayaan, mereka layak untuk menerima lanjutan tempoh bayaran selama enam bulan dengan keperluan dokumentasi yang lebih ringkas.

Bank turut memberi jaminan bahawa bantuan kewangan akan kekal tersedia termasuk dan tidak terhad kepada hanya TRA tetapi turut meliputi bantuan jangka panjang lain seperti pakej Penjadualan dan Penstrukturan Semula.

Bantuan turut tersedia kepada pelanggan daripada pelbagai kumpulan pendapatan, perniagaan mikro dan pelanggan terjejas ekoran pelaksanaan PKP terbaharu ini.

Susulan kenyataan yang dikeluarkan BNM dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) pada 12 Mei lalu, Bank Islam menyeru para pelanggan yang sebelum ini telah menerima bantuan pembayaran bersasar tetapi masih memerlukan bantuan kewangan untuk menghubungi pihak bank.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara yang semakin membimbangkan telah memaksa kerajaan untuk menguatkuasakan PKP 3.0.

“Sungguhpun kami faham kepentingan mengekang penularan virus ini, kami juga amat peka akan kesan langkah tersebut
terhadap keadaan kewangan pelanggan. Justeru, Bank Islam mengambil langkah proaktif ini untuk memelihara kesejahteraan mereka.

“Sejak bermulanya wabak Covid-19 ini, pihak bank telah menawarkan beberapa pilihan untuk membantu mengurangkan beban kewangan pelanggan. Bank Islam sedar bahawa pandemik ini menyebabkan keadaan tidak menentu dan kami menggalakkan
pelanggan untuk sentiasa membuat penilaian terhadap keadaan kewangan mereka.

“Dari peringkat awal lagi, mesej kami adalah jelas: Bsnk Islam sentiasa bersedia untuk membantu. Sekiranya pelanggan memerlukan bantuan, hubungi kami dan kami menyediakan penyelesaian kewangan terbaik untuk membantu mereka mendepani masa yang sukar ini,” tambah Muazzam.

ETRA Bank Islam telah diumumkan pada 23 November 2020 untuk membantu pelanggan yang memerlukan penangguhan bayaran selama tiga bulan atau pengurangan ansuran bulanan sehingga 50% bagi tempoh enam bulan.

Bantuan kewangan itu ditawarkan untuk semua pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 dan tidak tertunggak lebih dari 90 hari semasa permohonan dibuat.

Sebelum ini, Bank Islam telah mengumumkan permohonan ETRA akan ditutup pada akhir Jun 2021.

Untuk mendapatkan borang permohonan, sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berkenaan bantuan pascamoratorium Bank Islam, pelanggan boleh melayari laman web kami di www.bankislam.com/covid-19.

Pelanggan juga boleh memohon dengan mengimbas kod QR di bawah atau menghubungi Pusat Panggilan Bank Islam di talian 03-26 900 900.- MalaysiaGazette