Senator Datuk Razali Idris.

KUALA LUMPUR – Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara senada dengan kenyataan Perdana Menteri yang bertegas bahawa keganasan rejim Israel di bumi Palestin dihentikan serta-merta.

Pendirian Malaysia itu juga sama dengan kerajaan Indonesia dan Brunei, kata pengerusinya, Datuk Razali Idris.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan PBB hendaklah berfungsi sebenar-benarnya dalam menguatkuasakan undang-undang antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Piagam PBB serta jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949.

“Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara juga selari dengan pendirian berprinsip kerajaan Malaysia yang sentiasa konsisten memberi sokongan padu kepada Palestin dan perjuangan rakyatnya sama ada dari segi politik, ekonomi dan moral,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Razali berharap penyelesaian terbaik kepada konflik Palestin-Israel hanya boleh dicapai melalui rundingan bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau yang berkekalan.

“Sejajar dengan itu, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menyeru seluruh rakyat Malaysia termasuk badan bukan kerajaan (NGO), badan-badan korporat dan parti politik bersatu suara mengutuk tindakan keji Israel terhadap rakyat Palestin.

“Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara turut menyokong kenyataan YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa penyelesaian adil dan saksama melalui Penyelesaian Dua Negara atau ‘Two-State Solution’ berdasarkan garis sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin sebagai satu-satunya jalan penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel,” ujarnya yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia.- MalaysiaGazette