Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kes pengebumian dan persemadian membabitkan kematian berkaitan Covid-19 yang dikendalikan Kumpulan Nirvana telah bertambah 10 kali ganda pada ketika ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Walaupun ia melambangkan perniagaan, tetapi pengasas syarikat urusan pengebumian itu, Tan Sri Kong Hon Kong tidak gembira dengan perkembangan itu.

Hon Kong sebaliknya mahu orang ramai khususnya orang muda lebih berhati-hati dengan ancaman Covid-19 di negara ini.

Katanya, pada masa ini, kira-kira 10 daripada 300 mayat yang diuruskan Nirvana dalam sebulan adalah mangsa Covid-19.

“Pada tempoh sama tahun lalu, mangsa Covid-19 yang diuruskan Nirvana hanyalah satu kes malahan langsung tiada kes dalam tempoh sebulan.

“Walaupun angka ini secara keseluruhannya masih rendah, tetapi ia juga melambangkan peningkatan 10 kali ganda dari segi jumlah kematian Covid-19 yang diuruskan kami,” katanya kepada China Press.

Walaupun prihatin dengan peningkatan jumlah kematian, Hon Kong bagaimanapun menafikan ura-ura dalan media sosial bahawa mayat mangsa Covid-19 masuk secara “tanpa henti” ke dalam krematorium Nirvana.

“Jumlah kematian Covid-19 yang diterima kami memang bertambah dan kami pernah menerima dua kes pada satu-satu hari.

“Walau bagaimanapun, jumlah peningkatan yang berlaku bukannya seteruk yang digambarkan dalam Internet,” katanya. – MalaysiaGazette