WASHINGTON – Jumlah kumulatif kes Covid-19 di seluruh dunia sudah mencecah lebih 163 juta dan masih merekodkan lebih 500,000 jangkitan dalam tempoh tidak sampai 24 jam.
Menurut data Johns Hopkins University, Amerika Syarikat (AS) masih lagi berada di kedudukan pertama dengan jumlah kes lebih 33.6 juta kes dan terus merekodkan kes baharu lagi.
Manakala di kedudukan kedua pula India dengan lebih 24 juta kes manakala Brazil pula 15.6 juta.
Kes kematian di AS ketika ini mencatatkan lebih 600,000 kematian Covid-19 di ikuti kemudian Brazil sebanyak 434,000 kes manakala India pula 270,000 kes kematian setakat ini.
Sementara itu, data itu turut mendedahkan negara yang melebihi angka lima juta kes adalah Perancis dan Turki manakala lebih empat juta pula merangkumi negara seperti Russia, United Kingdom dan Itali.
Negara Sepanyol, Jerman, Argentina dan Colombia pula melebihi tiga juta kes sementara Poland, Iran, Mexico dan Ukraine mencatat lebih dua juta kes.
Lebih sejuta kes pula direkodkan di Peru, Indonesia, Afrika Selatan, Belanda, Kanada, Chile dan Romania.
Manakala negara dalam lingkungan 300,000 hingga 500,000 kes termasuk Malaysia, Slovakia dan Panama. -MalaysiaGazette