KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) AstraZeneca di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini.

Menerusi catatan di Facebooknya, Muhyiddin berkata beliau diiringi Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

“Saya berpeluang bertemu penerima-penerima vaksin, bertanyakan keadaan dan pengalaman mereka.

“Alhamdulillah mereka berpuas hati dengan perjalanan proses pemberian vaksin dan masing-masing berkongsikan pengalaman yang sangat baik sepanjang proses pemberian vaksin,” katanya.

Buat masa ini, Muhyiddin berkata PPV AstraZeneca di WTCKL adalah PPV terbesar di Malaysia dengan kemampuan memberikan suntikan vaksin telah dipertingkatkan daripada 2,100 dos sehari kepada 8,100 dos sehari.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua agensi dan sukarelawan yang terlibat dalam membantu menjayakan program vaksinasi berskala besar itu.

Muhyiddin juga menyeru orang ramai yang masih belum mendaftar mendapatkan vaksin untuk segera berbuat demikian agar imuniti berkelompok yang disasarkan berjaya dicapai.

— BERNAMA