Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Windmills Condominium, Genting View Resorts dan Apartment Mawar, Genting Highlands, Bentong, Pahang pada hari ini.

Ia yang dijadualkan tamat pada 23 Mei 2021, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, sepanjang tempoh PKPD, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 237 ujian saringan dan tujuh daripadanya disahkan positif Covid-19.

“KKM juga mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah menerima
rawatan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Windmills Condominium, Genting View Resorts dan Apartment Mawar, Genting Highlands, Bentong, Pahang pada 16 Mei 2021, lebih awal daripada yang dijadualkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KKM hari ini juga melaporkan situasi semasa kes Covid-19 di Ulu Lepar, Mukim Gali, Raub, Pahang dan akan melaksanakan PKPD berkuatkuasa 18 Mei hingga 31 Mei ini.

Sehingga kini, sebanyak lapan kes positif telah direkodkan di lokaliti tersebut.

KKM juga mendapati berlaku peningkatan ketara kes positif Covid-19 dalam tempoh seminggu serta kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut.

Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes Covid-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin serta menyekat penularan jangkitan ke kawasan luar, katanya.

KKM hari ini juga akan melaksanakan PKPD di beberapa lokaliti dalam Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah, Jitra, Kedah iaitu Taman Mahsuri 2A, Taman Mahsuri 2B, Taman Mahsuri 2C, Pusat Perniagaan Bandar Barat Kampung Paya Kerchut ,Taman Tunku Anum, Kampung Lubuk Kawah, Taman Desa Tanjung, Taman Desa Darul Aman Mukim Naga.

PKPD berjalan pada tempoh yang sama.

Sehingga kini, KKM telah melakukan 207 ujian saringan di semua lokaliti tersebut dan 94 daripadanya disahkan positif.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk membolehkan KKM melakukan ujian saringan secara bersasar kepada golongan berisiko tinggi
yang berpotensi menyebabkan jangkitan,” kata Ismail Sabri.- MalaysiaGazette