Pergerakan Wanita UMNO Pulau Pinang bersama-sama Dewan Muslimat Pas Pulau Pinang membidas sekeras-kerasnya tindakan tentera Zionis Israel yang melakukan serangan udara di Palestin.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wanita UMNO Pulau Pinang bersama-sama Dewan Muslimat Pas Pulau Pinang membidas sekeras-kerasnya tindakan tentera Zionis Israel yang melakukan serangan udara di Palestin.

Ia dikesalo kerana meragut lebih 100 nyawa Palestin termasuk kira-kira 50 nyawa wanita dan kanak-kanak terutama di Gaza,

“Ini satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan yang berulang-ulang oleh tentera Zionis sejak akhir Ramadan lalu yang turut mengakibatkan kecederaan hampir 2,000 lagi rakyat Palestin.

“Wanita UMNO Pulau Pinang dan Dewan Muslimat Pas Pulau Pinang senada bersama kerajaan Malaysia yang menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggunakan segala kuasa dan pengaruh mengikut undang-undang antarabangsa bagi membantu rakyat Palestin yang terhimpit dengan kancah kezaliman ketenteraan Israel,” kata kenyataan bersama Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim Ketua Dewan Muslimat pas Pulau Pinang, Ustazah Hasanah Idris semalam.

Menurut mereka, bantuan kemanusiaan perlu disegerakan bagi membawa bahan bakar, makanan dan bekalan perubatan kerana dianggarkan lebih 10,000 rakyat Palestin terpaksa meninggalkan kediaman mereka di Gaza malahan rakyat Palestin termasuk wanita, orang tua dan kanak-kanak ini terpaksa berlindung di sekolah, masjid dan tempat lain yang difikirkan selamat ketika pandemik global COVID-19 dengan akses air, makanan, kebersihan dan perkhidmatan kesihatan yang terhad.

“Wanita UMNO Pulau Pinang dan Dewan Muslimat Pas Pulau Pinang bertegas semua pihak harus sentiasa mematuhi undang-undang kemanusiaan serta hak asasi manusia antarabangsa. Moga rakyat Palestin terus dilindungi Allah,” ujarnya.- MalaysiaGazette