Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe.

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe bertukar jawatan ke Bukit Aman.

Beliau antara 12 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat Asisten Komisioner (ACP) yang terlibat dalam pertukaran jawatan dan jabatan hari ini.

Superintendan Komunikasi Korporat Urusetia Ketua Polis Negara Bukit Aman, Superintendan Skandaguru Anandan berkata, kesemua pertukaran itu berkuatkuasa secara rasmi pada 21 Jun ini.

Arifai bertukar ke Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sebagai Penolong Pengarah (Siasatan, Perundangan dan Kajian Kes), Bahagian Pematuhan Standard.

Kekosongan jawatan beliau di Gombak akan diganti oleh Asisten Komisioner Mohd Shukhairy Abd Sabhe.

Beliau kini menyandang jawatan Penolong Pengarah Perjawatan (Audit) Cawangan Perjawatan, Bahagian Perkhidmatan dan Perjawatan, Jabatan Pengurusan di Bukit Aman.

Dalam perkembangan sama, kekosongan yang ditinggalkan Mohd Shukhairy di Jabatan Pengurusan Bukit Aman akan diisi oleh Asisten Komisioner Glenn Anthony Sinnappah yang kini merupakan Penolong Pengarah (Pematuhan), Bahagian Pematuhan Standard, JIPS Bukit Aman.

Dalam pada itu Timbalan Ketua Cawangan Khas Risikan dan Operasi Kedah, Asisten Komisioner Abd Ghafar Ibrahim
bertukar sebagai Timbalan Ketua Cawangan Khas Pengurusan dan Koordinasi Pahang.

Jawatan yang ditinggalkan Abd Ghafar akan diganti oleh Timbalan Ketua Cawangan Khas Pengurusan dan Koordinasi Kedah, Asisten Komisioner Zaimy Mohamad Nawi.

Sementara jawatan Zaimy  akan diisi oleh Pegawai Turut E1C1 Cawangan Khas Bukit Aman, Asisten Komisioner Azizon Othman.

Dalam pada itu Asisten Komisioner Pentadbiran Jabatan Pengurusan, PDRM Sabah,Asisten Komisioner Habibi Majinji akan bertukar sebagai Timbalan Ketua Staf Perisikan, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Kementerian Dalam Negeri.-MalaysiaGazette