Sembilan warga China termasuk wanita dicekup mengendalikan kegiatan Judi dalam Talian di sebuah rumah kondo mewah dalam dua serbuan Ops Dadu berasingan di Jalan Sultyan Ismail, Kuala Lumpur malam Sabtu lalu. Gambar Ihsan Polis Dang Wangi.

KUALA LUMPUR – Sembilan suspek warga China ditahan polis dalam dua serbuan kerana disyaki mengendalikan operasi judi dalam talian.

Salah seorang daripadanya adalah wanita yang disyaki mendalangi kegiatan yang berpusat di sebuah kondominium mewah di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, polis telah melancarkan Operasi Dadu di sebuah kondominium mewah di Jalan Sultan Ismail, di sini, pada jam 11.15 malam Sabtu lalu.

“Dalam serbuan pertama di kondominium itu, seramai lima orang lelaki warga China berusia 23 tahun hingga 38 tahun telah ditangkap.

“Hasil pemeriksaan di dalam sebuah bilik rumah tersebut telah berjaya merampas 39 unit telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah komputer riba jenama Lenovo, lima keping kad sim prabayar hotlink dan wang tunai berjumlah RM2,785.00,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Zainal, kesemua suspek direman selama tiga hari mulai semalam hingga Selasa ini bagi siasatan di bawah seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Tambah beliau, susulan daripada operasi itu, pasukannya telah melaksanakan serbuan kedua pada jam 11.30 malam di lokasi sama dan menahan empat lagi suspek warga China termasuk seorang perempuan.

Ujar beliau kesemua suspek menjalankan kegiatan judi dalam talian itu dengan mensasarkan pelanggan di China.

“Kesemua tangkapan berumur dalam lingkungan 22 tahun hingga 30 tahun dan hasil pemeriksaan di dalam bilik tersebut telah merampas enam unit telefon bimbit pelbagai jenama, lima kad sim hotlink, seunit modem internet unifi, sebuah router dan wang tunai berjumlah RM381.

“Kesemua suspek direman selama dua hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan di bawah seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat menegnai aktiviti judi atas talian boleh menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette