Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelabur asing masih menjadi penjual bersih dalam pasaran ekuiti tempatan dengan melupuskan RM108.4 juta pada minggu lalu.

Namun, jumlah itu lebih rendah berbanding sebelumnya.

Ketika pasaran dibuka pada hari Isnin, pelabur asing menjual sebanyak RM37 juta ekuiti dengan pelabur runcit dan institusi menjadi pembeli bersih, masing-masing kepada RM10.97 juta dan RM26.3 juta.

MIDF Research berkata, pelabur asing menjadi penjual bersih setiap hari dengan aliran terbesar direkodkan pada hari Selasa sebanyak RM67.81 juta dan paling kecil pada hari Rabu sebanyak RM3.33 juta.

Tiada aliran masuk direkodkan pada minggu lalu yang berakhir 14 Mei 2021.

Firma penyelidikan itu berkata, bagi pelabur runcit pula, kumpulan ini merupakan pembeli bersih kecuali pada hari Isnin.

Jualan terbesar direkodkan oleh pelabur runcit pada hari Selasa sebanyak RM75.66 juta dan paling kecil pada hari Rabu iaitu RM12.86 juta.

Satu-satunya kemasukan yang direkodkan berjumlah RM10.97 juta.

Secara kumulatif, pelabur runcit merekodkan jualan bersih sebanyak RM77.55 pada minggu tersebut, sementara pelabur institusi tempatan pula sebanyak RM185.59 juta.

Pembelian bersih terbesar adalah pada hari Selasa sebanyak RM143.47 juta, belian terkecil pada hari Rabu sebanyak RM16.19 juta.

Sejak awal 2021, secara kumulatif, peruncit adalah satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti dengan berjumlah RM6.25 bilion.

Manakala institusi tempatan dan pelabur asing merupakan penjual bersih masing-masing kepada RM2.94 bilion dan RM3.31 bilion.

Dari segi penyertaan, pelabur runcit institusi tempatan, dan pelabur asing mencatatkan penurunan mingguan dalam nilai dagangan purata harian (ADTV), masing-masing sebanyak 37.45%, 33.28% dan 12.75%. – MalaysiaGazette