KUALA LUMPUR – Pernah digantung lesen memandu selama dua tahun, ditangkap dua kali dan dihukum kerja khidmat masyarakat namun masih degil dengan mengulangi aksi berbahaya di jalan raya.

Bagaimanapun, perbuatan lelaki berusia 21 tahun itu yang menunggang motosikal dengan membuat aksi wheelie di jalan raya di beberapa kawasan di ibu negara akhirnya tumpas di tangan polis.

Ia ekoran kejayaan polis mengesannya berdasarkan penularan video yang memaparkan aksi lelaki itu menunggang motosikal secara merbahaya yang telah dimuat naik melalui laman Instagram dan laman Tik Tok melaluiĀ  satu akaun bernama ”muhddanialsyafiq” dengan tajuk The Real Raya in Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, video berdurasi 0.28 minit tersebut dimuatnaik pada hari raya pertama dengan memaparkan seorang lelaki yang memakai baju Melayu berwarna cerah, berseluar gelap, memakai kopiah dan berselipar sedang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ secara merbahaya.

Lelaki yang sama juga melakukan aksi wheelie di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur termasuk di Lebuhraya AKLEH.

“Bertindak ke atas laporan polis yang diterima, Unit Risikan Operasi JSPT Kuala Lumpur yang diketuai oleh Inspektor Mohammad Solihi Shafie telah berjaya mengesan dan menahan suspek.

“Malahan motosikal jensi Yamaha RXZ yang disyaki digunakan suspekĀ  turut disita selain pakaian yang dipercayai digunakan dalam video itu turut dirampas untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, lelaki berkenaan telah ditahan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan memandu secara melulu dan merbahaya.

Menurut Zulkefly, hasil dari semakan rekod lampau terhadap individu itu mendapati suspek pernah ditangkap sebanyak dua kali atas kesalahan yang sama dan pernah dihukum di bawah Seksyen 79(2 ) APJ 1987 pada tahun 2018 dan dikenakan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat selama 12 bulan.

Lesen memandunya juga digantung selama dua tahun sejak tahun lepas.

Katanya, individu yang berperanan sebagai perakam aksi itu dan memuatnaik dalam media sosial Instagram dan Twitter turut disiasat dan sedang diburu untuk diambil tindakan di bawah akta yang sama kerana bersubahat.

“Bagaimanapun suspek melakukan aksi merbahaya itu tidak insaf dan berani mengulangi perbuatan itu sehingga dicekup semula untuk tindakan lanjut berlunaskan undang-undang polis yang ada.

“Polis ingin menasihati kepada semua pengguna jalan raya agar mematuhi undang – undang dan peraturan lalulintas dan tidak merbahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana- mana balai Polis berhampiran.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Syabas sita dan lelong motosikal setan rempit di harga mampu milik kepada yang benar-benar memerlukan motosikal tanpa ada rekod sebagai setan rempit.

Comments are closed.